Tentang kami

Tentang kami

Tuesday, October 25, 2011

GENAP 50 HARI FARHAD ZAMEER...

Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana akhirnya Farhad Zameer dapat discaj pada 13 Oktober 2011 bersamaan 50 hari berada di wad NICU. Terasa amat gembira sekali tidak terkata tatkala doktor mengeluarkan perkataan discaj yang selama 3 bulan ibu menantinya. Akan tetapi ibu diberi masa 3 hari untuk menjaga dan memberi perhatian pada si anak kecil ini untuk memastikan beratnya naik jikalau tidak akan ditahan di wad semula pada 17 Oktober....Hati berdebar2 kerana pertama kali pulang ke rumah membawa Farhad mengenali tempat yang akan didudukinya sementara sebelum berpindah ke tempat baru.

Selama 3 hari amatlah beharga kerana masa yang singkat untuk memastikan Farhad mendapat penjagaan teliti kerana selama 50 hari berada di NICU berat badannya hanya statik sahaja mungkin kerana faktor suasana dan suhu yang sejuk persekitarannya ditambah keadaan ibu yang stress dan teringat hero2 yang berada di rumah. Amat rindu sekali dengan 3F yang ditinggalkan, manakan tidak kalau dikira dah 90 hari ibu bermastautin di hospital.. huh satu jangka masa yang amat panjang dan tak dapat dibayangkan segalanya.

Setelah 3 hari berlalu sekali lagi hati berdebar2 menanti saat Farhad hendak ditimbang kerana takut beratnya tidak naik... huh sekali lagi ibu menarik nafas lega kerana tidak disangka baru 3 hari beratnya telah naik 110gm walaupun jika dilihat ia adalah satu jumlah yang sedikit.. Syukur tak terhingga sekali lagi ... ternyata Farhad mula serasikan diri dgn keadaan dan suhu di rumah.

Kegembiraan ini dikongsi bersama kawan2 Farhad yang lain kerana masing2 membuat check up juga pada hari yang sama sehinggakan ibu mendapat kawan yang ramai selama di NICU dan masing2 bertukar pendapat serta nasihat dalam situasi yang berbeza.Alhamdulillah pelbagai petua dan ilmu yang diperolehi dalam menjaga anak pramatang ini... Barulah ibu sedar bahawasanya pengalaman berada di wad terlalu mencabar dan byk belajar cara untuk mengatasi apa permasalahan serta penyelesaian bagi anak2 pra ini...

Terima kasih kepada saudara2 dan kawan2 yang banyak memberi sokongan dan dorongan untuk kekuatan kepada ibu.Di harap Muhammad Farhad Zameer akan terus kuat dan membesar tanpa ada halangan selepas ini rentetan ubat yang banyak telah diberikan.Semoga Allah mempermudahkan urusanmu Farhad Zameer.... Amin...

Monday, September 19, 2011

MUHAMMAD FARHAD ZAMEER.. SAAT DINANTI...


Hari ini 19 September 2011 genap 2 bulan ibu berada di hospital menanti saat kelahiran dan penjagaan anakku.Mengimbas kembali kejadian 19 Julai 2011 ibu mengalami pendarahan pertama ketika berada di rumah dan ketika itu apa yang ada difikiran adalah samaada keguguran atau mmg dah tiba saat untuk bersalin. Sepanjang perjalanan harapan ibu adalah anak dalam kandungan berada dalam keadaan selamat.Tidak dapat dibayangkan jika ibu kehilanganmu wahai anakku. Hanya doa dan tawakal sentiasa mengiringi sepanjang perjalanan lebih kurang 10 kilometer.

Setiba di Hospital ibu diberikan rawatan kecemasan yang mana pendarahan tadi masih tidak berhenti. Sementara melihat doktor yang panik (mungkin baru tersedar dari tido), akhirnya semua dapat diatasi dengan selamat akan tetapi bila mana doktor memberitahu bahawa ibu mengalami plasenta travia stage 4 (waktu tu ibu tak tau pun apa yg dimaksudkan)dan dinyatakan juga akan di tahan di wad sehingga bersalin, perasaan terkejut teramat dan tidak disangka juga sehingga begitu akhirnya.Dalam fikiran hanya memikirkan bagaimana dengan kerja ibu nanti, apa akan jadi kalau 6 bulan terpaksa bercuti, anak2 di rumah, waktu dah nak dekat raya dan macam2 yang terlintas difikiran.

Sehingga keesokan harinya setelah pendarahan berhenti ibu terus dibawa ke wad dan di situ juga bermula episod yang sukar dipercaya.Permulaan berada di wad tidaklah terasa sehingga 2 minggu perasaan memberontak untuk pulang amat terasa kerana dalam fikiran teringatkan anak2 dan suami di rumah. 1 Ogos 2011 apabila hati ingin juga pulang dan menanti saat menunggu ayah datang pendarahan kali kedua berlaku dan ketika itu hati berdebar lagi dan tertanya adakah ibu akan bersalin.Apabila pendarahan tidak berhenti apa yang difikirkan soal hidup dan mati (setelah mendengar penerangan doktor tentang risiko pendarahan). Hanya Allah yang mengetahui bagaimana perasaan dan apa yang terbayang difikiran, akan tetapi semangat dan dorongan apabila ayah ada bersama hati rasa terubat dan terfikir jika apa2 berlaku ada orang tersayang disisi.Alhamdulillah Allah masih memberi harapan untuk anak ibu membesar di dalam kandungan.

Apabila hampir 30 hari berada di hospital ibu di beri cuti untuk pulang beraya pada 30 dan 31 Ogos 2011 oleh doktor pakar. Segala2nya telah ditentukan, pada 25 Ogos 2011 pendarahan ketiga berlaku dan ketika ini adalah saat yang paling mencemaskan dan waktu ini ibu rasa memang lain dari kejadian sebelum. Terasa diri menggeletar kerana terlalu banyak darah yang hilang dan kepala mula pening dan apa yang terlintas adalah adakah akan selamat kandungan atau adakah ini hari terakhir bagi ibu kerana waktu itu 3 doktor pakar yang bergegas ke katil 23 rata2 berkata tak boleh tunggu lagi sebab darah terus mengalir tanpa henti. Apa yang doktor kata ibu hanya mengangguk sahaja tanda setuju. Tak sampai 2 jam anakku selamat dilahirkan dalam keadaan diri ibu dipengsankan tanpa diketahui apa yang telah berlaku. Tersedar apabila ada nurse yang mengejut dan berkata puan...puan... Akan tetapi dek kerana tersangat lemah dan rasa pening yang amat ibu terpaksa kembali menutup mata, sekali lagi nurse terus mengejut kerana takut risiko jika keadaan terus tidak sedarkan diri.

Alhamdulillah, semasa di bilik bersalin menanti keadaan ibu stabil ayah berada bersama ketika itu soalan pertama ditanya samaada sempurna atau tidak anak yang dilahirkan dan apabila ayah beritahu ok terasa semangat kembali dan diberitahu juga anakku lelaki ibu menerima dengan hati yang gembira. Malam itu ibu terus di bawa ke wad kerana keadaan sudah semakin stabil dan menunggu 6 jam untuk menerima makanan semula.Seminggu selepas anakku dilahirkan tercipalah nama untuknya iaitu MUHAMMAD FARHAD ZAMEER.....(Ilham dari ayah dan abang2nya Faris serta Fatih).

Syukur walaupun Farhad dilahirkan pra matang tetapi keadaan dia semakin stabil dan sehingga kini masih berada di wad NICU untuk dipantau dan semoga anak ibu kembali sihat dan boleh pulang dengan baik.Sama2 doakan untuknya.... AMIN...

Thursday, June 23, 2011

Hari Terbuka 3P.....

19 June 2011 lalu hari MUHAMMAD FARIS ZAQWAN mengambil buku laporan peperiksaan pertengahan tahun. Tepat jam 8.30 pagi ibu dan ayah juga Fatih & Faris terus ke 3P melihat keputusan yang terhasil. Mengikut apa yang ibu bertanya kepada Faris sewaktu habis peperiksaan setiap subjek yang di ambil jawapan Faris adalah "entah" dan "kita tak dapat jawab lah ibu"... Dalam hati berdebar juga ketika nak pergi mengambil keputusan, yelah mana tahu keputusan baik ke tidak. Setiba di 3P semua cikgu menyambut kedatangan ibu bapa dan anak2 serta menjemput untuk bersarapan dahulu dengan hidangan yang disediakan.

Selesai bersarapan ibu, Faris dan Fatih terus naik ke tingkat atas untuk mengambil keputusan dengan hati berdebar. Ayah menunggu di bawah kerana ruang yang terhad. Sampai di atas kami menunggu giliran kerana ada ibu bapa yang sedang mengambil keputusan anak2nya.

Apabila giliran tiba, ibu pun merujuk kepada Cikgu Faris iaitu Cikgu Ita. Berdebar semakin terasa kerana teringat kata2 Faris "entah", apa agaknya keputusan peperiksaannya. Bila Cikgu Ita menyatakan Faris dapat no 9, ibu pun bersuara " dapat no. 9 Faris".. lalu Cikgu Ita pun sahut "kira keputusan bagus tu Puan"... hehe blur sekejap ibu kerana bila Cikgu Ita menunjukkan kertas peperiksaan ada 8 subjek, ada 4 subjek Faris dapat 100% dan markah terendah 94%.. Alhamdulillah, lega rasa ibu bila Cikgu katakan Muhammad Faris bagus dia dalam kelas cuma pemalu je. Bila tanya soalan dia susah nak volunteer sendiri kene cikgu panggil nama baru dia bangun jawab. Huhhh ibu menarik nafas lega kerana semua keputusan lulus dan Faris hanya tersenyum bila Cikgu bercakap padanya. Dalam pada itu, ibu terasa lebih menggembirakan apabila Cikgu Ita menyatakan Faris dapat mewakili 3P dalam Hafazan surah2 Al Quran. Alhamdulillah syukur, kerana dalam diam MUHAMMAD FARIS ZAQWAN ada bakat terpendam. Moga Faris berjaya pada Hari Bakat nanti pada 16 Julai 2011.

Setelah selesai bertemu Cikgu, kami pun turun dan mengajak ayah pulang setelah bersalaman dengan Guru2 semua. Ayah tersenyum bila ibu menceritakan semula apa yang Cikgu katakan tadi dan sempena hari lahir MUHAMMAD FARIS ZAQWAN pada 29 June 2011 nanti ada hadiah istimewa ibu akan berikan sebagai semangat untuk hero yang tersayang.

Semoga Faris dan Fatih terus berjaya Dunia & Akhirat... Amin....

Tuesday, May 31, 2011

May 2011...








Tup tap tup tap dah akhir bulan May 2011. Tanpa disedari tahun 2011 dah pun masuk bulan yg tengah dah tanpa disedari anak2ku sudah pun setahun setengah melayari alam pra persekolahan terutama MUHAMMAD FARIS ZAQWAN yang akan menjangkau usia 6 tahun pada 29hb Jun 2011 ni. Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi Faris telah pun pandai membaca dan melihat ketekunannya apabila berada di rumah lebih banyak menulis dan mengeja rasa lega dihati terubat kerana ada peningkatan dalam dia berusaha ke arah yang lebih baik.Minggu lepas baru sahaja selesai peperiksaan pertengahan tahun dan harap2nya dia dapat membuat dengan baik.

Bermula cuti sekolah penggal pertama, seperti biasa ibu dan ayah banyak misi kenduri yang telah diundang dan bermula dari 21hb May 2011 sehinggalah 19 Jun 2011 nanti hari minggu dipenuhi dengan undangan dan aktiviti yang harus dilaksanakan. Terutama FnF ketika bersama pergi ke Hari Keluarga pasukan bola sepak MMU iaitu 'TAQIS DAY' yang berlangsung pada 21hb May 2011. Tergambar kegembiraan di wajah FnF tatkala ramai anak2 kawan ayah yang juga tutut serta. Banyak acara yang dijalankan dan tidak lupa acara anak2 untuk memberi semangat juga para bapak2 yang lebih teruja bersama kawan2 sepasukan.

Sesampai sahaja di Damar Resort di Pengkalan Balak FnF terus teruja dengan kolam mandi yang memang FnF sangat2 menunggu masanya. Akan tetapi perasaan takut masih ada kerana sudah lama tak ke kolam hanya merendamkan sahaja kaki masing2 kerana belum ada geng yang mengikut jejak FnF.

Tidak sampai setengah jam FnF menunggu anak2 yang lain pun turut serta dengan terus terjun ke dalam kolam tersebut tanpa berlengah. Akan tetapi FnF masih lagi melihat dan belum teruja, masuk jek 10 minit selepas itu apa lagi tanpa menunggu lama FnF pun sedikit demi sedikit menurunkan kakinya dan tak sampai 5 minit masing2 dah tiba ke dalam kolam. Hahaha kelakar rasanya anak2 ini, kerana dalam 1 jam MUHAMMAD FARIS ZAQWAN telah dapat dan berani untuk terjun bagai hero seperti perenang negara Faiznor Miskin... Huhu begitu dasyat sekali apabila kami melihat anak2 ini. Ibu2 Bapak2 ramai tak tahu berenang akan tetapi anak2 telah dapat berenang bagai juara.

Sehari suntuk anak2 ini berendam sehingga kecut kulit seluru tangan dan kaki. Yang menjadi mangsa bapak2 kerana para ibu menikmati udara segar dari laut dan ada yang beristirehat di dalam bilik kerana ramai dikalangan ibu2 yang mengandung. Sehinggalah saat lepas magrib FnF mengadu lapar kerana dek kolam tadi masing2 lupa untuk makan. Setelah selesai makan tak sampai beberapa minit FnF pun terlena terus di dalam bilik.

Keesokan hari FnF tidak melepaskan peluang lagi untuk beraksi di dalam kolam renang sehingga jam 11 pagi saat ibu2 sibuk mengemas untuk pulang. Hai betapa suka mereka ni sehingga lupa tentang keletihan. Setelah selesai majlis sewaktu di dalam kereta FnF tidur sepanjang jalan sehinggalah sampai di rumah kerana keletihan yang sangat.

Untuk minggu2 yang akan datang akan dipenuhi dengan aktiviti kenduri di rumah saudara dan rakan2 taulan ayah dan ibu pula... Perancangan dikawal rapi kerana saat ini harus pandai menyusun masa dan kewangan.

SELAMAT BERCUTI UNTUK ANAK2 SEMUA SEMPENA CUTI SEKOLAH. FNF TERPAKSA LAH DUDUK DI TADIKA SEHINGGA IBU DAN AYAH BERCUTI LAMA.

ADIOS... SYUKRAN...AMINN..

Monday, April 18, 2011

Besday Fatih Ziyad... 4 Tahun laa...



8 April 2011 genap sudah MUHAMMAD FATIH ZIYAD yang sangat baik ini 4 tahun.. Pantas sungguh masa berlalu dan tidak melupakan untuk meraikan besday boy ini dengan sebiji kek yang dihantar ke tadika untuk dikongsikan bersama kawan2... Pagi2 lagi dah tanya mana kek dan ibu menerangkan yang kek akan ibu ambil dan hantar ke tadika nanti..

Jam 8.30 pagi setelah pergi mengambil kek yang ditempah dan kebetulan anak2 di sana semua sedang beratur untuk latihan solat, dan ketika itu juga Fatih dengan tersengehnya tunggu di depan pagar dan tak dapat digambarkan betapa gembira bila ibu mengeluarkan kotak kek dan memberikan kepada makcik di tadika untuk bersama2 meraikan hari istimewa Fatih ini.

Jam 5 petang ibu pun pulang cepat dari kerja dan telah berjanji nak pergi makan bersama2 di Cyberjaya dgn ayah. Dan bila di KFC Cyber bertambah gembira ibu mengeluarkan bungkusan hadiah untuk FnF kerana nak tahu apa yang ayah dan ibu belikan.. Abang tak terlepas dari mendapat hadiah kerana tidak mahu mereka bergaduh.

Jam 9.15 malam kami pulang dan ayah menyambung kerjanya. Apa yang dapat dilihat wajah FnF yang sangat teruja.. Sekali sekala meraikan anak supaya mereka tahu ayah dan ibu sangat menyanyangi mereka kerana mereka adalah permata yang amat bernilai dari segala galanya.

SELAMAT HARI LAHIR ANAKKU "MUHAMMAD FATIH ZIYAD"...

sALAM...

Tuesday, April 5, 2011

Sian Faris dan Fatih......

Sejak Faris disenarai pendek dalam team bola sepak 3P, setiap hari isnin,rabu dan khamis diadakan latihan bola sepak untuk mengukuhkan lagi team menjadi yg terbaik seperti thn lepas. Latihan mula dari pukul 5 sehingga 6 ptg, akan tetapi latihan diteruskan sehingga 6.30ptg... Keseronokan tergambar di wajah anak2 ini terutama Faris dan tidak lupa pada Fatih yang terlalu excited sedangkan dia tak termasuk dalam team akan tetapi semangat untuk abang dia juga turut serta dalam team... Kadang2 kesian jugak sebab bila balik sahaja dari latihan dalam keadaan lapar dan mengejar pula pukul 8 malam untuk pergi mengaji. Apabila balik sahaja dari mengaji pukul 9 baru dapat makan sepenuhnya dan tak sampai pun pukul 10 Fatih telah selamat tidur bersama botol susunya tanpa disuruh.

Bila kita ingat semula sewaktu tadika ibu ayah dulu masih lagi kejar mengejar main sembunyi2 di tadika kerana dahulu tahap pembelajaran tidak seperti sekarang yang terlalu padat dan terlalu up to date. Akan tetapi bila kita sebagai ibu dan ayah kene selalu memberi nasihat dan cuba beri semangat dan terus menggalakkan anak2 melakukan aktiviti2 positif kerana sebagai permulaan mereka mengenal erti kesukanan.

Bersukan Untuk Kesihatan...
Adios....

Tuesday, March 15, 2011

Anak2ku Yang Semakin Membesar...



Lama rasanya tidak mengemaskini blog anak2ku yang dikasihi.Cepat sungguh rasanya masa berlalu dan sedar tak sedar anakku Faris dah pun menjangkau 6 tahun dan Fatih 4 tahun. Macam baru semalam ibu melahirkan mereka dan tanpa disedari anak2ku semakin peka dengan keadaan persekitarannya yang sedikit sebanyak mempengaruhi.

Bercerita mengenai MUHAMMAD FARIS ZAQWAN, sekarang sedikit sebanyak memberi kerjasama kepada ibu jika diminta tolong mandikan atau membasuh waktu adik buang air kecil boleh diharap. Dalam pada itu Faris lebih minat kepada lukisan dan mewarna kerana dari semasa ke semasa pewarnaannya semakin ke arah yang lebih baik. Walaupun ada ketika memang suka bergaduh dengan adik, akan tetapi Faris lah yang byk mengalah jika adik melawan. Dan satu yang paling harus ditepati ialah janji, jika ibu atau ayah berjanji akan dituntut sehingga dapat. Pagi tadi dengan tiba2 Faris bangun lalu terus ke bilik air, ibu ingatkan nak buang air kecil, rupa2nya ambil air sembahyang nak solat subuh katanya. Alhamdulillah sedikit sebanyak ilmu di tadika mempengaruhinya ke arah kebaikan.

Sebut tentang MUHAMMAD FATIH ZIYAD pula, ibu tak nafikan yang Fatih lebih keras budaknya kerana apa yang dibuat adalah betul walaupun ia tidak betul. Selalu tak boleh lebih dari abang. Jika ibu belikan sesuatu kepada FnF ini, yang pasti Fatih akan menghabiskan abang punya dahulu dari yang dia punya sendiri. Akan tetapi abang selalu mengalah dan memberi laluan kepada adiknya. Walaupun pergaduhan kadangkala terjadi juga dek kerana tidak tahan dengan perangai adiknya.Fatih juga terlebih manja kerana dia tahu dialah yang bongsu selagi tiada adik lagi.

Hujung minggu yang lalu, FnF menghabiskan masa bersama embah lanang dan embah wedok kerana dah lama tidak pulang ke kampung. Sempena cuti sekolah dapat juga bersama menikmati suasana kampung yang aman tanpa bising lalu lintas.

Walauapapun cuba beri masa kepada anak2 untuk lebih mempelajari tentang hidup di alam yang indah ini.

Syukran.

Tuesday, January 25, 2011

FnF Jalan2 bersama Atuk,Nenek,Cik Nuar ngan Cik Usu...











Baru2 nih FnF dapat mengisi waktu hujung minggu bersama Atuk,Nenek, Cik Nuar dan Cik Usu bersama keluarga masing2. Kami semua ke Genting Highland yang mengambil masa 45 minit dari rumah Seri Kembangan. Aktiviti kekeluargaan selalu diadakan untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara keluarga yang lain.

Biasalah kalau dah ramai2 berkonvoi memang seronok dan hilang rasa penat bekerja bagi ibu dan ayah.Pada pagi 8hb Januari 2011 jam 9 pagi kami bertolak dari rumah FnF terus ke Genting. Tiba di Gombak singgah sebentar di Pasar Mini kerana susu Fatih telah habis dan lupa dibeli sewaktu di rumah. Perjalanan bermula dengan berbelok2 dari susur ke genting dan ayah sentiasa berhati2 semasa memandu di selekoh kerana banyak kejadian kemalangan di situ.Alhamdulillah jam 11 pagi kami pun tiba di Seri Malaysia untuk daftar masuk hotel. Akan tetapi jam 3 ptg baru boleh masuk, kami pun teruskan perjalanan ke Genting. Dalam 15 minit kami berjaya berada di atas dan keadaan seperti malam kerana awan yg gelap.Terasa sangat sejuk di sana akan tetapi masing2 telah membawa bekalan baju sejuk. Semua berjalan dengan baik dan kami terus ke destinasi yang dituju iaitu indoor (outdoor ditutup kerana awan terlalu tebal). Indoor lebih banyak aktiviti untuk kanak2 kerana ruang yang terhad.

FnF pun tak melepaskan peluang bermain bersama sepupunya Eisya dengan tidak mengenal erti kepenatan. Pelbagai aktiviti yang dipenuhi kerana banyak permainan yang ada di sana.Tidak dilupa menunaikan kewajipan solat ketika sampai waktunya. Atuk dan Nenek meluangkan masa di sana dengan berjalan melihat suasana di sana. Snow world aktiviti keluarga yang sgt sesuai untuk keluarga kerana di sana dapat merasai keadaan bersalji dan suhu mencecah -4'c, memang sangat sejuk untuk suhu Malaysia.

Selesai semua aktiviti, kami pun beredar ke Hotel untuk menjamu selera makanan yang di bawa oleh nenek iaitu ketupat rendang dan sambal kacang... nyum..nyum... sangat menyelerakan. Dek terlalu penat masing2 terus terlelap hingga ke Subuh. Siap untuk bersarapan di sana kami sempat meluangkan masa menaiki kabel ke Genting sekali lagi.

Jam 3 ptg kami siap sedia untuk turun ke bawah dan menghantar nenek dan atuk kerana keesokan harinya masing2 memulakan kerja seperti biasa.p:>

Tahun 2011.....

Tidak terlewat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru bersama azam baru kepada semua dan terutama anak-anakku yang memulakan sesi persekolahan baru.

Muhammad Faris zaqwan 6 tahun dan Muhammad Fatih Ziyad 4 tahun. Terfikir juga di fikiran mcm mana Fatih menghadapi sekolah agaknya dan setakat ini telah masuk 2 tahun bersekolah dengan seragamnya.Alhamdulillah memang berat nak bangun pagi tapi semangat terpancar apabila abang Faris memberi kerjasama yang baik. Adik mengikut sahaja apa abang buat. Setakat ini anak-anakku masih boleh lagi terima perjalanan kehidupan yang dilalui sekarang...

Walauapapun ibu dan ayah mendoakan MUHAMMAD FARIS ZAQWAN DAN MUHAMMMAD FATIH ZIYAD selamat menjalani sesi persekolahan yang baru dengan wajah cigu baru dengan semangat yang waja...

Aminnn...